BENARKAH rakyat Malaysia ramai yang gemuk? Bila Kementerian Kesihatan mengatakan bahawa Malaysia kini berada pada kedudukan pertama di kalangan negara ASEAN yang berhadapan dengan masalah obesiti dan di rantau Asia Pasifik kita duduk di tangga keenam, ramai yang agak sangsi dengan fakta itu.
Betulkah itu? Dalam ASEAN kita nombor satu? Mungkin, rasa sangsi itu timbul bukan kerana di sekeliling kita ramai yang kurus ramping atau ‘melidi’, tetapi kita sudah biasa dikelilingi oleh orang yang mempunyai berat badan berlebihan.
Sebelum ini, Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (LPKM) turut menjangkakan 30 peratus atau 8.1 juta rakyat negara ini akan mengalami masalah obesiti pada tahun ini akibat gaya hidup mereka yang tidak sihat.
Masalah kegemukan di kalangan rakyat negara ini dikatakan meningkat dari tahun ke tahun. Tiada statistik yang kita dengar menunjukkan berlakunya penurunan.
Dan isu obesiti membabitkan pelajar sekolah turut heboh diperkatakan pada awal April lalu, sehingga penjualan nasi lemak di kantin dikatakan antara puncanya.
Obesiti diertikan sebagai jumlah berat badan yang berlebihan akibat kandungan lemak. Daripada status kesihatan, semua orang tahu obesiti boleh mengundang banyak penyakit kronik seperti diabetes dan masalah jantung.
Dari segi psikososial pula, orang gemuk kerap merasa rendah diri, kurang berkeyakinan dan tidak selesa dengan keadaan diri, sedangkan rakan sekeliling sebenarnya tidak kisah pun mengenai penampilan itu.
Sebenarnya, kita sepatutnya bimbang dan mengambil serius perkembangan ini dan tidak menjadikan ia bahan gurauan. Ini kerana secara langsung ia melibatkan tenaga sumber manusia dan produktiviti negara.
Dalam keluarga pula, sekiranya ahlinya mengalami obesiti dan berpenyakit, ia akan memberi bebanan tambahan dari segi kos pembiayaan perubatan dan menjejaskan tumpuan terhadap kerja atau pelajaran serta boleh timbul pula masalah sosial lain.
Semua orang pun tahu kunci kepada masalah obesiti ini adalah mengamalkan cara hidup yang baik dan sihat.
Dari segi pemakanan terutamanya. Kita sendiri terdedah dengan pengambilan makanan yang berkalori tinggi, termasuklah yang mempunyai lemak dan gula yang tinggi. Makan di restoran-restoran makanan segera dan mamak juga sudah menjadi amalan dalam hidup kita.
Dan pada masa sama, kita kurang atau malas bersenam. Setiap pergerakan walau dengan jarak dekat sekali pun, kita lebih suka berkereta dan masa banyak dihabiskan di tempat kerja, menghadap komputer atau bagi kanak-kanak pula menonton televisyen.
Jadi yang boleh mengubah bentuk tubuh badan kita ialah diri kita sendiri, tanpa menyalahkan mana-mana makanan. Dan dalam menguruskan badan pula, kita perlu realistik serta mengikut nasihat pakar, supaya tidak memudaratkan kesihatan.
No comments:
Post a Comment