Makanan mempengaruhi kecergasan atlet dan seterusnya kemenangan selain latihan gigih dan semangat jitu semasa pertandingan.
Sehubungan itu, bagi mendapatkan tenaga yang cukup terutamanya bagi para atlet sebelum dan selepas pertandingan, maka mereka sentiasa diingatkan supaya mengambil makanan yang bersesuaian dengan keperluan ketahanan tubuh dan kecergasan yang dikehendaki.
Tidak dinafikan, banyak ahli sukan yang memandang enteng terhadap pemakanan kerana menganggap semua makanan boleh menyalurkan tenaga kepada mereka tanpa mengira khasiat yang terkandung di dalamnya dan kesan mengambilnya.
Bagaimanapun, selalunya, ahli sukan digalakkan mengambil makanan yang mengandungi hampir semua nutrien makanan kecuali yang terlalu berlemak kerana itu akan memudaratkan kecergasan atlet.
Tidak dinafikan, atlet terutamanya yang menyertai sukan lasak atau ekstrem, tidak sahaja boleh bergantung kepada makanan ruji atau harian yang diambil, ia perlu dibantu dengan pengambilan makanan tambahan berbentuk bahan diproses dalam membekalkan lebih tenaga dan mencepatkan pemulihan.
Kini, makanan tambahan atau makanan kecergasan bukan lagi suatu yang baru terutamanya kepada ahli sukan ekstrem. Ia menjadi kelaziman kepada golongan ini mengambilnya untuk mengoptimumkan tenaga semasa beraksi dan selepas pertandingan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pemakanan Nestle, Richard Laube berkata, latihan, perlumbaan memerlukan tenaga tetapi di mana ia boleh dibekalkan. Semua ini boleh diperoleh sekiranya atlet mengambil berat mengenai pemakanan mereka.
''Sekiranya kalori yang dibakar berpadanan dengan makanan yang diambil, seseorang atlet itu akan berupaya untuk berlatih dan beraksi dengan baik. Tetapi sekiranya mengambil terlalu banyak kalori dan berlemak, maka boleh menjejaskan kecergasan kerana lemak itu akan tepu.
''Bagaimanapun, jika terlalu sedikit pengambilan kalori pula, akan meningkatkan risiko mendapat kecederaan. Oleh itu, atlet yang menyertai sukan yang memerlukan banyak tenaga dan masa lama berlatih, memerlukan kalori dan diet yang seimbang. Dalam perkara ini, digalakkan mengambil makanan kecergasan selain makanan sedia ada semasa latihan dan perlumbaan,'' katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Nestle Nutrition-Helping Athletes Optimize Performance di Lausanne, Switzerland, baru-baru ini.
Menurut Laube, selain memberi tumpuan kepada pengeluaran produk pemakanan kanak-kanak, makanan kesihatan dan pengurusan berat badan, Nestle turut memberi penekanan terhadap makanan kecergasan terutama kepada ahli sukan.
Jelasnya, makanan kecergasan ini membantu ahli sukan beraksi lebih baik dan memenuhi keperluan psikologi serta ketahanan badan.
Mengapa ahli sukan memerlukannya? Untuk sihat, mengimbangi diet dan seterusnya kecergasan. Ia adalah produk pemakanan yang membantu membekalkan keperluan karbohidrat dan protein.
Justeru itu, beliau yang juga Timbalan Presiden Eksekutif Nestle S.A memberitahu, menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Nestle, maka lahirlah makanan kecergasan, PowerBar yang boleh diperoleh dalam bentuk bar, gel dan minuman.
Sementara itu, Ketua Perniagaan Global Nutrisi Kecergasan Nestle, Philip Annett menjelaskan produk PowerBar bukan sahaja sesuai untuk ahli sukan tetapi boleh dimakan bagi mereka yang mahukan tenaga tambahan bagi menjalankan aktiviti yang memerlukan tenaga berlebihan.
''Ia mengandungi rendah lemak, protein dan karbohidrat yang menyalurkan tenaga dan kalori yang mencukupi untuk pergerakan tubuh.
''Bagi pengguna Muslim, ia adalah halal. Kami di Nestle juga prihatin dengan pengguna beragama Islam. Walaupun kebanyakan pasaran PowerBar lebih di negara-negara Barat, namun bagi memenuhi permintaan di rantau Asia, maka pusat penyelidikan kami di Australia telah memastikan produk ini halal dan boleh dimakan oleh penganut Islam,'' katanya.
Ditanya mengenai jenis yang mana akan memberi tindakbalas yang cepat, Annett berkata, gel dan cecair akan bertindak pantas dalam membekalkan tenaga berbanding PowerBar berbentuk bar.
''Ini kerana gel dan cecair lebih cepat meresap di dalam tubuh manakala bar padat dan perlu dipecahkan semasa penghadaman,'' katanya.
Pengalaman ahli sukan
Juara Olimpik berbasikal lasak, Gunn-Rita Dahle Flesja yang telah menjadi juara dunia sebanyak lapan kali berpendapat, makanan tambahan yang sering diambil sebelum menjalani latihan atau perlumbaan penting supaya tenaga yang dibekalkan olehnya boleh disimpan lama dan sekali gus penghadaman lambat berlaku.
''Saya memang mementingkan pengambilan makanan seimbang terutamanya sebelum menjalani latihan atau perlumbaan. Saya selalu mengambil makanan seperti bijirin oat, kekacang dan buah-buahan yang membekalkan protein. Manakala setengah jam sebelum beraksi, saya akan mengambil minuman PowerBar bagi memberi lebih tenaga.
''Kemudian selepas perlumbaan, untuk memulihkan semula tenaga atau kecederaan, saya akan mengambil makanan kecergasan berupa gel dan bar yang khusus untuk pemulihan. Ini akan membantu pemulihan dengan cepat,'' katanya yang telah menggunakan produk PowerBar buat sekian lama.
Sementara itu, seorang lagi pengguna produk PowerBar, bekas Juara Dunia Ironman, Faris Al-Sultan berkata, pemakanan penting kepada atlet dalam mendapatkan stamina dan kecergasan semasa perlumbaan.
"Penglibatan saya secara profesional dalam sukan triatlon sememangnya mendedahkan dirinya terhadap risiko kecederaan dan kehilangan tenaga semasa perlumbaan.
"Justeru itu, saya tidak memandang mudah terhadap pemakanan kerana ia penting sebagai pemangkin kepada kekuatan dan tenaga untuk beraksi ke arah kecemerlangan dan seterusnya menggondol gelaran juara,'' katanya.
Beliau mengakui sering mengamalkan diet yang tinggi kalsium dan protein terutama produk tenusu, kekacang serta daging merah. Bahkan menjadi pengguna setia kepada makanan kecergasan PowerBar setiap kali berlatih dan bertanding.
Sambung Baca: http://anizyn.blogspot.com/2008/12/diet-seimbang-pengaruhi-kecergasan.html#ixzz2AmCAsog3
No comments:
Post a Comment