Powered By Blogger

Wednesday, October 31, 2012

hukum menghisap shisha


Soalan:
Apa hukum menghisap shisha? Adakah sama dengan hukum menghisap rokok? Dan adakah kesannya sama dengan rokok? syukran ustaz..
Jawapan:
Sebenarnya soalan seperti di atas pernah ditanya kepada bekas mufti Arab Saudi, iaitu Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz. Jadi di sini saya memilih untuk menjawab soalan di atas dengan menterjemah jawapan yang telah diberi oleh bekas mufti Arab Saudi. Terjemahannya adalah seperti berikut:
Soal: Apa hukum menghisap shisha? Adakah hukumnya sama dengan hukum merokok? Adakah shisha dan rokok termasuk dalam dadah yang diharamkan?
Jawab: Menghisap shisha dan rokok dan segala jenis-jenisnya termasuk dalam perkara-perkara yang diharamkan kerana kedua-duanya mengandungi kemudaratan yang banyak. Pakar-pakar perubatan telah menjelaskan kesan-kesan buruk kedua-dua perkara tersebut (hisap shisha dan rokok). Sesungguhnya Allah swt telah mengharamkan ke atas orang Islam melakukan sesuatu yang memudaratkan mereka. Oleh itu adalah wajib bagi mereka yang menghisap shisha atau rokok supaya berhenti dan berwaspada daripada perbuatan tersebut kerana firman Allah swt:
يسئلونك ماذا أُحل لهم قل أُحل لكم الطيبات
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Muhamad), “Apakah yang dihalalkan bagi mereka”? Katakanlah, “Yang dihalalkan bagi kamu adalah yang baik-baik. (al-Maidah: 4)
Dan firmannya lagi:
ويحل لهم الطيبات ويحرم عليهم الخبائث
Maksudnya: Dan dia (Muhamad) yang menghalalkan segala yang baik bagi mereka dan mengharamkan segala yang buruk bagi mereka. (al-A’raf: 157)
Dan kesemua jenis rokok dan shisha termasuk dalam perkara buruk yang memudaratkan manusia. Maka kesemua jenis rokok dan shisha adalah haram berdasar dengan dua ayat al-Quran di atas apabila diperhati maksud kedua-duanya. Kita memohon kepada Allah swt memberi petunjuk kepada orang Islam mengenai apa yang baik dan yang dapat menyelamatkan mereka. Juga memohon agar Allah melindungi mereka daripada perkara-perkara yang memudaratkan mereka di dunia dan akhirat. Sesungguhnya Dia adalah sebaik-baik tempat memohon. (tamat jawaban bekas mufti Saudi)
Saya juga sempat bertanya kepada doktor pakar, Prof. Madya Dr. Zainur Rashid bin Zainuddin mengenai kesan buruk menghisap shisha. Adakah kesan menghisap shisha sama dengan kesan menghisap rokok? Jawaban ringkasnya, kesan menghisap shisha adalah sama atau lebih buruk bergantung kepada bahan perasa atau tambahan yang digunakan semasa menghisap shisha.
Sebagai kesimpulan, menghisap shisha adalah haram sepertimana haramnya menghisap rokok dan kesan mudarat menghisap shisha adalah sama atau lebih buruk daripada kesan menghisap rokok mengikut bahan perasa atau bahan tambahan yang digunakan.
Sekian والله أعلم

No comments:

Post a Comment